Ungkapan cinta itu indah,
Seindah cinta mekar berbunga di hati,
Apakah cinta?
Cinta bukan hanya pada kekasih,
Cinta bukan berpaksikan nafsu semata,
Cinta itu indah bagi kamu,
Jika kamu mengerti apa dia?
Cinta yang utama adalah pada Allah S.W.T,
Cinta yang ikhlas tanpa rintihan,
Cintai Rasul juga agama Islam,
Mengabdikan diri sepenuh hati,
Berilmu beramal fi sabilillah,
Amal ma’ruf nahi mungkar.
Cinta kedua pada keluarga,
Kasihkan ibu kasihkan ayah,
Kasihkan saudara sedarah sedaging,
Kata-kata nista pemusnah keluarga bahagia!
Binalah toleransi kukuhkan ukhuwah,
Didikan yang baik permata hati,
Menjadi harta paling berharga,
Ibubapa bahagia zuriat dirahmati-Nya.
Cinta sesama manusia,
Bukan sahaja aku cinta padamu,
Tetapi aku cinta pada semuanya,
Masyarakat aman hidup sentosa,
Zahirkanlah rasa cinta benteng hasad dengki,
Penyeri hati nurani membawa harmoni.
Cintailah aku wahai kalbu,
Sayangilah diri sendiri,
Jagalah hati wahai jasadku,
Jangan dinodai prasangka durjana,
Dengarlah kehendak hati kita,
Waspada godaan syaitan sentiasa.
Mencintai dalam islam itu indah,
Bersatu bersama cinta yang padu,
Ikatan kukuh dengan Allah S.W.T,
Janji setia dengan keluarga tercinta,
Kasih insaniah sesama manusia,
Seiring alam memayungi sarwajagat,
Ciptaan agung Al-Rahman Al-Rahim,
Tuhan Yang Maha Esa,
Subhanallah!